Saturday 18 June 2011

SELAMAT HARI BAPA 2011

Pada kali ini bersempena dengan sambutan hari bapa  yang disambut pada 19 Jun 2011, marilah sama-sama kita berfikir sejenak mengenai pengorbanan & jasa seorang insan yang dikenali sebagai ayah. Kebanyakan dari kita jarang yang rapat dengan ayah masing-masing. Berbeza dengan ibu, ayah kebiasaannya mempunyai karakter yang tegas dan sedikit serius. Kita seringkali beranggapan bahawa sayang seorang ayah tidak sama dengan sayang seorang ibu kepada anaknya. Tapi percayalah, kita tidak boleh membezakan jenis kasih sayang dari keduanya kerna ianya kasih sayang yang sama namun dari cara penyampaian yang berbeza. Seorang ibu menyampaikan kasih sayang dari hati ke hati dan secara halus serta menyentuh hati. Namun seorang ayah, kita akan jarang melihat ayah mengasihani anaknya sepertimana ibu mengasihani anaknya. Secara umumnya, kasih sayang ayah digambarkan dengan kata-kata nasihat, teguran yang tegas tetapi mempunyai maksud yang mendalam, larangan-larangan yang serius dan sebagainya. Tetapi percayalah, segala teguran dan marah ayah bukanlah kerana dia membenci anaknya, tetapi untuk membina masa depan anak yang lebih baik dari apa yang dia miliki sekarang. 

Seandainya ayah seorang nelayan dan petani yang hidup serba kekurangan, nescaya si ayah akan tegas dalam mendidik anaknya untuk gigih menimba ilmu. Digunakan rotan seandainya anak tidak mahu ke sekolah, dimarahi dengan suara yang tinggi seandainya anaknya melakukan perbuatan yang salah dan tidak betul. Namun pernahkah kita terfikir kenapa ayah begitu marah jika kita tidak mahu pergi ke sekolah, tidak mahu membuat kerja sekolah? Tidak lain tidak bukan adalah kerana ayah tidak mahu kehidupan si anak seperti kehidupannya sekarang. Ayah ingin anaknya mendapatkan apa yang tidak pernah dia dapat disewaktu dia muda dahulu. Kita pernah melihat kisah-kisah drama di televisyen yang memaparkan pengorbanan seorang ayah, sanggup bekerja siang dan malam membanting tulang mencari nafkah hanya untuk memberi makan kepada anak-anak dan untuk membayar yuran persekolahan anak-anak. Tidak mengapa dia tidak berpakaian baru asalkan anaknya berjaya dalam hidup. Bayangkan betapa besarnya pengorbanan seorang ayah kepada anaknya. Sedarlah bahawa ayah amat menyayangi kita, dia akan menitiskan air mata kegembiraan di belakang kita apabila kita berjaya dalam hidup. Sewaktu si anak perempuannya menjadi isteri kepada seorang menantu lelakinya, ayah tetap sebak untuk melepaskan anak perempuannya dari tanggungannya. Air matanya menitis walaupun tidak pernah kita melihat di hadapan kita. Hargailah ayah kita, kerna keredhaan Allah Taala terletak pada keredhaan Ayah kita juga.

No comments:

Post a Comment